...He found you lost and guided you (93:7)

Thursday, May 20, 2010

3 Perkataan Yang Sukar Diucapkan

“Aku takutkan Allah!”. 

Sekilas pandang, ketiga-tiga perkataan ini kelihatan amat mudah untuk dilafazkan. Namun apakah kita semua sedar bahawa mutakhir ini amat jarang dan sukar untuk kita temui di kalangan umat Islam yang mampu melafazkan ketiga-tiga perkataan tersebut? Apatah lagi apabila mereka berhadapan dengan sesuatu situasi atau perbuatan yang berunsurkan maksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala?

Sebelum saya melangkah dengan lebih jauh, terlebih dahulu izinkan saya membawa sebuah hadis daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di mana, menurut hemat saya, ianya amat berkait rapat dengan persoalan yang telah kita bangkitkan menerusi perenggan di atas. Hadis yang saya maksudkan adalah seperti berikut, maksudnya:

Dari Abu Hurairah radhiallahu‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh (membesar) dalam beribadah kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya sentiasa terkait dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bersatu dan berpisah atas dasar cinta ini, seorang lelaki yang dirayu oleh wanita bangsawan dan berparas cantik, kemudian dia menyebut: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, orang bersedekah dengan sesuatu sedekah yang dia sembunyikan sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat kesunyian, kemudian berlinanglah kedua air matanya.
 [Hadis riwayat al-Bukhari (no. 629) dan Muslim (no. 1031)]

Perhatian kita ditujukan kepada perkataan yang diucapkan oleh salah seorang lelaki tatkala beliau dipujuk rayu oleh seorang wanita bangsawan yang cuba mengajaknya untuk melakukan zina, lelaki tersebut berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah. Demikian betapa ringkas dan padatnya ucapan lelaki tersebut sehingga yang demikian menyebabkan beliau mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di sini timbul satu persoalan, mengapakah lelaki tersebut mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala iaitu sebagai salah seorang yang termasuk dalam tujuh golongan yang mendapat naungan-Nya di Hari Kiamat?
Jawapannya adalah mudah kerana hakikatnya tidak semua di kalangan kita, umat Islam, di dunia ini yang mampu melepaskan diri daripada jeratan fitnah maksiat. Lebih-lebih lagi apabila berada dalam situasi seumpama hadis di atas di mana fitnah yang dihadapi oleh lelaki tersebut adalah berupa pujuk rayu daripada seorang wanita yang memiliki rupa paras yang cantik dan mempunyai kedudukan sebagai seorang wanita bangsawan. Ini mengingatkan kita kepada salah sebuah hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

Tidak aku tinggalkan selepas (kewafatan)ku fitnah yang paling dahsyat ke atas lelaki melainkan fitnah wanita. 
[Hadis riwayat al-Bukhari (no. 4706) dan Muslim (no. 4293)]

Malah dalam riwayat yang lain sedia diterangkan bahawa punca utama yang membawa kepada kehancuran Bani Israil adalah disebabkan oleh fitnah daripada kaum wanita juga. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maksudnya:

Takutilah fitnah yang ada pada dunia dan takutilah fitnah yang ada pada wanita. Sesungguhnya fitnah pertama bagi Bani Israel ialah wanita.
[Hadis riwayat Muslim (no. 4925)]

Bagaimana pula dengan realiti umat Islam masa kini?
Kembali semula kepada perbincangan kita. Mungkin ada di kalangan para pembaca ketika ini yang bertanya: Sejauh manakah benarnya dakwaan penulis (Mohd Hairi) yang lalu yang mengatakan bahawa umat Islam masa kini amat sukar mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah” khususnya apabila mereka sedang diuji dengan sesuatu perkara yang menggugat keimanan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala?

Bagi mengukur sejauh mana kebenaran dakwaan ini maka marilah sama-sama kita memerhatikan realiti umat Islam yang berada di sekeliling kita pada ketika ini. Secara jujurnya saya ingin bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian. Sehingga kini berapa ramaikah di kalangan anda yang pernah menyaksikan golongan yang jujur lagi tegas mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah” tatkala mereka diajak kepada sesuatu perkara yang mengarah kepada perlakuan maksiat di sisi agama? Pasti sahaja bilangan kelompok ini amat minima, bahkan tidak pernah langsung, bukan?

Terus terang saya katakan bahawa sehingga kini saya sendiri masih belum menemui seorang jua dari kalangan umat Islam yang mengucapkan perkataan yang sama apabila berhadapan dengan situasi kemungkaran termasuklah diri saya sendiri. Berani saya katakan seperti ini kerana saya yakin bahawa saya bukanlah bersendirian dalam perkara ini. Walau bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa golongan ini memang wujud akan tetapi bilangan dan kekerapan mereka mengucapkan perkataan tersebut adalah amat minimum. Atas dasar inilah saya mengatakan bahawa perkataan ini, iaitu aku takutkan Allah, amat jarang dan sukar untuk diungkapkan oleh kebanyakan umat Islam muktakhir ini.

Sebab-sebab kesukaran mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah”.
Persoalan seterusnya: Mengapakah umat Islam merasa sukar (untuk) mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah” bagi menangkis sesuatu perbuatan maksiat di sisi agama? Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sebahagian umat Islam amat jarang dan sukar untuk mengungkapkan perkataan tersebut, paling kurang adalah disebabkan oleh dua faktor berikut:

Pertama: Takut dan malu dianggap sebagai riya’. Sebahagian orang amat bimbang jika mereka mengungkapkan perkataan “aku takutkan Allah” maka mereka akan dilabelkan oleh sesetengah pihak sebagai orang yang memiliki sifat riya’ iaitu menunjuk-nunjuk bahawa kononnya dia ialah seorang yang memiliki sifat taqwa yang tinggi kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru, atas dasar bimbang dilabel sebagai golongan yang riya’ maka mereka memilih untuk berdiam sahaja ketika menolak sesuatu perbuatan maksiat.

Kedua: Kurangnya sifat taqwa dalam beragama. Jika diperhalusi hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beberapa perenggan yang lalu jelas menunjukkan bahawa kesemua golongan yang dijanjikan naungan Allah di dalam hadis tersebut berkait rapat dengan sifat taqwa yang dimiliki oleh mereka. Tidak mungkin lelaki yang digambarkan dalam hadis tersebut menolak pelawaan wanita untuk berzina melainkan disebabkan oleh sifat taqwanya kepada Allah. Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa ketiadaan sifat taqwa pada diri seseorang merupakan faktor utama yang membuatnya berasa merasa sukar untuk mengucapkan “aku takutkan Allah’ tatkala dia diuji dengan sesuatu perbuatan maksiat di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apakah sukar bagi kita untuk mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah”?
Sungguh pun mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah” adalah sesuatu yang amat sukar untuk dipraktikkan namun ia bukanlah suatu yang mustahil untuk kita lakukan. Hal ini terbukti menerusi hadis yang saya bawakan di awal risalah ini di mana lelaki yang dijanjikan oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai termasuk dalam salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah daripada kalangan hamba-Nya juga, sebagaimana kita. Hanya sahaja yang membezakan beliau dengan golongan selainnya sehingga mendapat kemuliaan tersebut adalah disebabkan oleh sifat taqwa yang dimilikinya. Oleh itu, perkara pertama yang harus dilakukan seseorang itu bagi memudahkannya mengucapkan “aku takutkan Allah” ialah menyemai sifat taqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Walau bagaimanapun seperkara yang perlu kita sedari bersama bahawa kemampuan untuk mengungkapkan perkataan “aku takutkan Allah”, khususnya apabila berhadapan dengan sesuatu situasi kemungkaran, pada hakikatnya adalah bergantung kepada rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala juga. Ini sebagaimana yang berlaku ke atas Nabi Allah, Yusuf ‘alaihissalam tatkala beliau diuji dengan perbuatan zina di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala, dengan sifat Rahmat-Nya, telah menyelamatkan beliau daripada terjerumus ke lembah fitnah tersebut. Hakikat ini telah pun dirakamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala menerusi firman-Nya (maksudnya):

Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf) dan Yusuf pun berkehendak kepadanya. Sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih. 
[Surah Yusuf, ayat 24]

Kesimpulan:

Oleh itu, marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semoga Dia mengurniakan kepada kita dengan sifat taqwa agar dengan taqwa tersebut akan menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang mampu mengucapkan perkataan “aku takutkan Allah” tatkala berhadapan dengan sesuatu ujian yang berupaya menggugat keimanan kita. Ini sekaligus membuka peluang yang sebesar-besarnya kepada kita untuk termasuk dalam salah satu daripada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. 

~Wallahu a’lam~

No comments:

Post a Comment